Pages

Thursday, October 21, 2010

Saman tidak relevan: Peniaga

ALOR GAJAH - Seramai 50 peniaga barang basah di pekan Alor Gajah, dekat sini, melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang tidak berasas dan bersikap biadab terhadap mereka. 


Kumpulan peniaga itu mendakwa mereka menerima tekanan apabila menerima saman setiap bulan daripada anggota penguat kuasa MPAG yang berusaha mencari pelbagai alasan untuk menyaman peniaga itu dan turut menggunakan bahasa kesat.

Peniaga ditemui, Leong Mei Wah, 47, berkata, dia disaman anggota penguat kuasa MPAG atas alasan meletakkan bekas tempat mengisi barang di luar kawasan tapak perniagaan sedangkan dalam satu perjumpaan telah dimaklumkan tentang kawasan yang dibenarkan untuk meletak barang.

Dia bukan sahaja diarah menunjukkan surat hitam putih kepada anggota penguat kuasa yang datang menerjah, sebaliknya mendakwa tapak berniaganya kotor dan pelbagai alasan diberikan sehingga mengeluarkan kompaun ke atas perniagaannya.

“Saya letak bekas ini dekat sini sebab saya berniaga setiap hari, sukar sekiranya saya hendak membawa barang pulang setiap hari dan sehingga kini sudah dua saman saya terima, satu pada bulan lepas dan satu lagi tiga hari lalu.

“Dia datang saman satu kedai RM50 kadang-kadang dalam satu hari berniaga tidak dapat hasil pun, tetapi kena saman, mana boleh tahan kalau sering disaman, kami cari makan. Bila mereka datang terjah pelanggan lari sebab takut tengok mereka.

Saemah Yusuf, 48, berkata, perniagaannya terjejas sejak tindakan anggota penguat kuasa MPAG sering mengeluarkan kompaun sehingga hampir 70 peratus hasil pendapatannya sekali gus menyebabkan dia hilang punca pendapatan, sebaliknya ditambah dengan baya-ran kompaun yang terpaksa dilunaskan.

“Setiap hari mereka tekan kami dengan saman, kalau sering begini bagaimana kami mahu makan, duit berniaga habis bayar saman sahaja, bukan peniaga sahaja disaman, sebaliknya pelanggan yang tengah beli barang turut terkejut apabila kenderaan mereka disaman," katanya.

Selain itu, janji pihak berkenaan ingin memasang bumbung turut tidak dilaksanakan menyebabkan peniaga di sini terpaksa basah setiap kali hujan," katanya.

Peniaga buah-buahan ditemui, Mohd Radzi Rosli, 27, berkata, dia menerima 14 saman sejak bulan puasa lalu dan menerima kata-kata kurang kesat daripada anggota penguat kuasa bertugas.

“Sudahlah mengeluarkan kata-kata kesat, kemudian mereka pergi buat laporan polis mengatakan saya pula yang mahu ajak mereka bertumbuk.

“Kami ini peniaga cari makan, kami tidak kacau kerja orang lain, tetapi ini yang kami terima kata-kata kesat, herdikan, tohmahan, laporan polis dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Yang diPertua MPAG, Nordin Ali ketika dihubungi berkata, peniaga sepatutnya memahami dasar kerajaan bukan ikut sesuka hati meletakkan bara-ngan jualan mereka di atas lantai dan bukan di tempat disediakan contohnya di rak di kaki lima premis terbabit.

“Dakwaan mereka mengatakan kami mengeluarkan kata-kata kesat itu tidak benar, kerana setahu saya mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat itu kepada kami, kalau benar mereka yang kena kami harap mereka membuat laporan polis supaya polis dapat jalankan siasatan lanjut.

“Kami mahu lihat bandar ini bersih mengikut dasar dipegang kerajaan, contohnya Singapura negaranya bersih sebab masyarakatnya berpegang kepada prinsip dan mematuhi undang-undang kebersihan," katanya.

Menurutnya, MPAG mempunyai etika kerja dan berharap peniaga dapat mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.

No comments:

Post a Comment