Pages

Tuesday, June 22, 2010

Adun Sri Serdang lepaskan semua jawatan??

SHAH ALAM, 22 Jun — Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno Selangor malam tadi.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 tengah malam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir kerana mereka ada urusan di luar negara.

Kelmarin, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang, pada mesyuarat tersebut.

Noh berkata mesyuarat malam tadi membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat Adun Barisan Nasional (BN) baru-baru ini. — Bernama

No comments:

Post a Comment