Pages

Tuesday, June 7, 2011

Akhirnya impian Fadzil Noor tercapai

June 7, 2011
by Dr. Dzul
 (YB Liew Chin Tong, seorang graduan dari Australian National University (ANU), dalam Kajian Sains Politik dan Kajian Asia. Beliau menulis tesis ijazah sarjana mudanya dengan kepujian dalam tajuk “Islamic State Debate in PAS” dalam tahun 2004 di bawah kelolaan Professor John Funston. Beliau sangat peka tentang wacana ‘Negara Islam dalam PAS’ sejak awal Reformasi dan mengikuti perkembangan ini dengan lebih dekat lagi mutakhir ini – Dr Dzul)

7 June   – oleh Liew Chin Tong (Roketkini.com)
7 JUN – Selepas pimpinan PAS mengumumkan Dokumen Negara Islam pada 2003, setelah dicabar oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad, ia menjadi salah satu faktor utama parti itu tewas teruk dalam pilihan raya umum 2004.
Daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU 1999, PAS hanya mampu kekalkan 6 kerusi Parlimen. Banyak pihak mengatakan PAS kehilangan undi bukan sahaja dari kalangan bukan Islam tetapi juga dari orang Melayu yang dikatakan “resah” dengan konsep negara Islam parti itu.
Sebenarnya Dokumen Negara Islam 2003 adalah kosep yang berlawanan dengan cadangan asal yang dibawakan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor selaku Presiden PAS, sejak 2001 dalam bentuk Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21.
Di antara Disember 2001 dan Mac 2002, draf empat muka surat telah dibincangkan oleh sabahat-sabahat PAS termasuk aktivis NGO yang kemudiannya dibawakan oleh Fadzil dalam muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan pada Mei 2002.
Fadzil yakin memorandum itu yang masih dalam peringkat persediaan itu mampu mencari titik pertemuan pelbagai peradaban, kepercayaan dan pegangan politik rakyat. Baginya, sifat pemerintahan Islam perlu ada syura, pemilihan dan demokrasi kerana pembinaan negara mesti berpaksikan kepada akhlak dan sistem nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan yang benar.
Beliau turut menjelaskan bahawa pentadbiran yang dicita-citakan PAS ialah yang mendukung kedaulatan undang-undang serta menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga melahirkan “Negara Berkebajikan” yang diharapkannya dapat memakmurkan negara dengan kebajikan serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan.
Tujuh perkara asas dalam Memorandum itu adalah:
●      Masyarakat madani
●      Hak saksama (al-musaawah)
●      Kedaulatan undang-undang berasaskan syariah yang luas makna dan ruang lingkupnya
●      Keadilan (al-‘adalah)
●      Meritokrasi (as-solahiyah)
●      Negara berkebajikan
●      Pentadbiran dinamik dan inovatif
Sayangnya, Fadzil meninggal dunia tidak lama selepas muktamar itu, pada 23 Jun 2002, yang mengakibatkan Memorandum itu tidak lagi menjadi keutamaan PAS.
Namun begitu, sebulan selepas perginya Fadzil, PAS menyusun semula Memorandum itu untuk dibincangkan bersama dengan rakan-rakan seperjuangan di luar parti di mana tujuh perkara asas dikekalkan dengan huraian yang lebih panjang.
Apa yang mengejutkan ialah satu dokumen yang berlainan sama sekali telah dikeluarkan pada November 2002 atas nama Dokumen Negara Islam yang direstui oleh Majlis Syura Ulama PAS.
Dokumen itu juga mempunyai tujuh prinsip, seperti mana Memorandum, tetapi ia berbeza dalam banyak segi.
Tujuh perkara asas Dokumen itu ialah:
●      Negara undang-undang di mana dijelaskan bahawa hudud, qisasa dan takzir akan dikenakan kepada orang Islam sahaja tetapi yang bukan Islam boleh memilih sama ada menerima hukum itu atau common law
●      Sistem khilafah di mana pemerintah mesti melaksanakan hukum Islam, jika tidak mereka dianggap pengkhianat amanah Allah
●      Takwa
●      Sistem syura (concensus) di mana ia akan membincangkan perkara-perkara yang boleh diijtihadkan sahaja, dan tidak boleh dalam hukum-hukum tetap Islam (qat’i)
●      Keadilan dan kesamarataan (al-‘adaalah wal musaawaah) yang dijelaskan tidak sama dengan persamaan (equality) dan sama bahagian (fairness)
●      Kebebasan (al-hurriyyah) yang tidak boleh bercanggah dengan syara’
●      Ketuanan mutlak  (as-siyaadah wal haakimiyah) atau sovereignty yang mana hak ketuanan adalah milik Allah dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.
Walau apa pun niat baik pimpinan PAS dalam menyediakan Dokumen ini, persepsi orang ramai terhadapnya telah menyebabkan parti itu ditolak dalam PRU 2004. Ia dlihat sebagai menakutkan orang bukan Islam dan orang Islam yang berpendirian sederhana.
Menjelang 2007 di mana pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang lemah telah membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat, ramai pemimpin PAS terutamanya mereka yang bersikap sederhana telah menyertai gerakan-gerakan mobilisasi demokrasi seperti perhimpinan Bersih yang mendesak kerajaan Barisan Nasional supaya telus dan adil dalam pilihan raya.
Pada masa itu juga PAS mula kembali kepada idea asal Fadzil yang mahu parti itu menjadi lebih terbuka dan berarus perdana dalam menarik sokongan rakyat. Ia juga usaha sesetengah pemimpin PAS untuk membuktikan bahawa Islam bukan sempit ajarannya, Islam adalah untuk semua.
Kejayaan besar PAS bersama PKR dan DAP dalam PRU 2008 meyakinkan banyak pihak supaya parti itu berjuang bersama-sama dalam satu gabungan yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat.
Dengan adanya barisan baru PAS yang dipilih dalam muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur hujung minggu lalu, hasrat Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meluaskan usaha promosi Negara Berkebajikan dilihat akan membuahkan hasil.
Seperti yang dijelaskan oleh Hadi, Negara Berkebajikan adalah konsep yang berteraskan Islam dan boleh diterima oleh semua orang tanpa mengira agama dan kaum. Ini bermakna PAS tetap boleh memperjuangkan agenda Islam yang benar-benar memberi manfaat kepada semua manusia.
Memetik kata-kata Hadi, “Kita mulakan dengan pelaksanaan Negara Berkebajikan. Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia sebut Negara Berkebajikan”, ia mengingatkan kita semua kepada apa yang diperjuangkan oleh Allahyrahm Ustaz Fadzil untuk membawa imej Islam yang lebih demokratik, inklusif, terbuka dan adil tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS.
Sejak 2004, PAS telah melalui jalan yang sukar dan penuh berduri. Rasa kurang keyakinan diri di kalangan pemimpin tertentu PAS juga membuatkan mereka serba-salah dengan tawaran UMNO untuk bersatu padu demi perpaduan Melayu.
Sekarang ternyata impian Fadzil sudah menjadi kenyataan. PAS dilihat sudah bersedia untuk kembali dengan penuh komitmen terhadap Pakatan Rakyat, selaras dengan impian Fadzil yang mahu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO dan BN. – Roketkini.com
Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera

http://blog.drdzul.com/

No comments:

Post a Comment

Post a Comment