Pages

Wednesday, June 30, 2010

UMNO Putera keringkan wang Felda


Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagaian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.

Weblog Husam Musa




Tuesday, June 29, 2010

FELDA Adalah Contoh Bagaimana UMNO Tipu Orang Melayu

NOTA EDITOR:UMNO pergi ke sana ke mari beritahu orang ramai kononya PAS jual hak Melayu kerana bekerjasama dengan DAP.

Rupa-rupanya UMNO yang paling teruk khianati Melayu. Sebusuk-busuk DAP, takda lah DAP yang hilangkan wang Felda sampai RM3-8 billion ringgit. Bukankah Felda ni 100% Melayu?

Adakah dosa DAP selama ini dapat dibandingkan dengan UMNO yang telah menghilangkan lebih RM3 ribu juta wang kepunyaan orang Melayu Felda. Kita tak tahu, adakah wang itu akan kembali atau dapat diganti tapi yang kita tahu wang itu telah lesap.

Selama ini UMNO menuduh PAS dan DAP menjual hak Melayu, padahal pengkhianat Melayu yang sebenarnya adalah UMNO dan Najib sendiri. Wang kepunyaan Melayu telah hilang ditelan oleh kroni2 UMNO.

Juga, kita tak tau apa lagi hak Melayu yang akan difaraidkan oleh UMNO kepada kroni-kroni mereka. Di bawah adalah cabaran dari ANAK untuk berdebat secara terbuka dengan Ahmad Mazlan dalam isu hilangnya wang FELDA.

Kalau UMNO benar-benar yakin mereka benar, saya cabar Ahmad Mazlan terima cabaran dari Mazlan Aliman ini. Kalau tidak, UMNO hanya bercakap kosong dan terbukti UMNO tidak lain sebuah parti yang pembohong dan perompak.

Kasihan FELDA kerana terpaksa menanggung cara pembangunan UMNO, yakni cara “Biar Pape Asal Gaye”. Semua yang UMNO buat untuk FELDA ini bakal hancur dan bakal merugikan setiap peneroka FELDA. Percayalah.

Yang senang nanti hanyalah kroni2 dan UMNOPUTRA.

Ayoh UMNO. Ayuh Ahmad Mazlan, Ayuh Najib sambut cabaran Mazlan Aliman untuk berdebat. Apa yang kamu perlu takut sekiranya kamu benar.

Antara hujjah Mazlan Aliman yang WAJIB Najib Tun Razak jelaskan adalah:

Dalam pada itu, behubung RM2 bilion yang didakwa digunakan untuk tanam semula, Mazlan berkata Felda sepatutnya tidak mengalami kemerosotan, kerana mereka membuat pemotongan caruman RM40 setiap bulan bagi sejumlah 112,635 peneroka.
Jika dikira sejak kali pertama Felda membuat pemotongan tersebut sehingga kini, dan dilaburkan, beliau memberitahu paling kurang Felda mendapat RM3 bilion daripada tanaman semula.
"Ke mana pergi wang ini? Kita minta satu penjelasan dari Perdana Menteri," katanya lagi.


Ertinya, bukan setakat Wang FELDA hangus, wang yang dicarum oleh peneroka dari gaji mereka sendiri pun lesap ditelan bumi.

Saya rasa dengan hujah sebegini, Najib dan Ahmad Maslan TIDAK AKAN BERANI berdebat secara terbuka, inshaalah.
Rizab Felda: Anak cabar Ahmad debat terbuka

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 28 Jun: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk berdebat secara terbuka berhubung isu kemerosotan rizab Felda.

Dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini, Mazlan berkata, jawapan Ahmad di parlimen berhubung faktor kemerosotan tersebut adalah sangat meragukan dan banyak tanda tanya.

"Saya cabar Datuk Ahmad Maslan buat debat intelektual tentang Felda, di mana-mana saya tak kisah.

"Kalau dia rasa dia betul, kata pendedahan kita ni salah, kita buat debat," katanya.
Turut serta dalam sidang media tersebut, bekas Timbalan Menteri Tanah dan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong.

Ahmad sebelum ini mengakui rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009.

Kemerosotan itu, jelasnya ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda.
Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut.

Selain itu, Anak juga jelasnya akan membuat laporan polis berhubung keraguan mereka terhadap penjelasan kerajaan itu di seluruh negara sehingga hujung bulan ini dan sehingga kini tiga laporan polis telahpun dibuat iaitu di Temerloh, Kota Tinggi dan hari ini di Segamat.

Jika tiada sebarang respons dari laporan-laporan tersebut, Mazlan berkata perkara tersebut akan di bawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kita akan bawa semua wakil-wakil peneroka, anak-anak peneroka berhimpun beramai-ramai di hadapan pejabat SPRM.

"Kita akan serahkan satu dokumen lengkap salah guna kuasa oleh kerajaan, minta SPRM siasat.

Dalam pada itu, behubung RM2 bilion yang didakwa digunakan untuk tanam semula, Mazlan berkata Felda sepatutnya tidak mengalami kemerosotan, kerana mereka membuat pemotongan caruman RM40 setiap bulan bagi sejumlah 112,635 peneroka.

Jika dikira sejak kali pertama Felda membuat pemotongan tersebut sehingga kini, dan dilaburkan, beliau memberitahu paling kurang Felda mendapat RM3 bilion daripada tanaman semula.

"Ke mana pergi wang ini? Kita minta satu penjelasan dari Perdana Menteri," katanya lagi.

Bagi pinjaman perumahan pula, Mazlan yang juga generasi kedua Felda berkata, seramai 18,406 telah membuat pinjaman dari Felda.
Setiap peneroka, jelasnya diminta menandatangani satu borang serah kuasa dan dikehendaki membayar balik pinjaman dengan 2.5 peratus kos pengurusan.
"Peneroka akan membayar balik pinjaman tersebut antara RM200 hingga RM300 sebulan.

"Dia sebut Felda keluarkan RM603 juta, pada masa yang sama, berapa banyak kutipan telah dibuat oleh Felda atas skim pinjaman sejak 2005 hingga sekarang?" soalnya lagi.

Beliau turut mempertikaikan kewajaran Felda memperuntukkan RM253 juta yang didakwa untuk tabung kemiskinan Sabah, sedangkan anak peneroka di Semenanjung ini pun tidak diberi apa-apa bentuk kebajikan.

"Apa relevannya sebuah negeri seperti Sabah, yang mendapat geran setiap tahun, dalam bajet disalurkan peruntukan sekian banyak, tiba-tiba agensi seperti Felda yang mendapat peruntukan dari kerajaan awal dahulu untuk bantu rakyat, institusi ini pulak bantu kerajaan Sabah?" soalnya lagi.

Keraguan juga timbul berhubung sejumlah RM662 juta yang didakwa diperuntukkan untuk bangunan baru Menara Felda.

Menurut Mazlan, kenyataan Ahmad bahawa RM662 juta untuk bangunan baru tersebut juga bercanggah dengan kenyataan awal Datuk Seri Najib pada 2008.
Najib pada waktu itu memberitahu kos untuk bangunan baru tersebut adalah RM640.77 juta dan akan siap dalam masa tiga tahun.

Tian Chua: peluru berpandu Scorpene 20% lebih mahal

16 Rejab 1431 H

Tian Chua (PKR-Batu) hari ini mengemukakan usul tergempar untuk membincangkan pembelian senjata yang dipercayai terlalu mahal untuk dua kapal selam Scorpene Malaysia.

Ini ekoran pendedahan kerajaan baru-baru ini bahawa perolehan peluru berpandu 40 Exocet SM-39 laut ke udara dan 30 torpedo Black Shark yang berjumlah 219 juta euro.

Menurut usul Chua, Kementerian Pertahanan telah membayar 20 peratus lebih daripada harga pasaran, selepas membandingkan perolehan yang serupa oleh negara-negara lain.

"Menurut rekod perolehan Pakistan, kos SM-39 ialah 3.07 juta euro setiap satu, manakala Portugis membeli Black Sharks pada harga 2 juta setiap satu," kata Chua.

Berdasarkan angka-angka tersebut, maka jumlah kosnya ialah 182.8 juga euro - berbeza 20 peratus (36 juta euro) daripada apa yang telah dibayar oleh Malaysia.

Tian juga memetik sebuah laporan oleh badan pemikir berpengaruh - Foreign Policy in Focus (FPIF), yang menyebut dalam laporan tahun 2005 bahawa banyak pembuat senjata pada umumnya digunakan rakyat Malaysia yang ada berhubung baik, sebagai pelobi mereka untuk mendapatkan kontrak.

"Komisyen dibayar kepada wakil-wakil berkenaan, dianggarkan berkisar antara 10 hingga 20 peratus," kata Tian dalam usulnya yang memetik laporan FPIF.

Dalam usulnya itu, Tian menggesa Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepada Dewan Rakyat sama ada orang tengah atau ahli politik terlibat dalam pembelian torpedo dan peluru berpandu itu.

Malaysiakini/-

Jika Benar Trend Pendaftar Pengundi Baru 1 melayu lawan 40 Bukan: Petanda BN kehilangan Kuasa

JIKA benar trend pendaftaran pengundi baru 1 Melayu lawan 40 bukan melayu, petanda BN akan kehilangan kuasa pada PRU-13.

Umno sebagai parti terbesar, tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku. Umno perlu melangkah dengan cepat untuk mengimbangi trend ini.

Pesanan PM pada April 2009, sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagi PM, bahawa ancaman kepada BN dan Umno, jika pemuda melayu tidak menggunakan haknya sebagai pemilih. Sangkaan PM itu, kini benar-benar berlaku.

Sebelum terlambat, adalah diseru semua 191 Bahagian UMNO bergiat aktif menyeru agar para pemuda yang layak khasnya melayu dan bumiputra hendaklah mendaftar segera sebagai pemilih.

Semalam pengerusi biro keahlian dan daftar pemuda Umno, Hishamudin Yahya yang mendedahkan nisbah itu berkata senario berkenaan seharusnya menyedarkan orang Melayu yang kuasa politik mereka boleh terhapus jika enggan terus mendaftar sebagai pengundi atau mengundi pada pilihan raya akan datang.

Trend lebih ramai bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi selepas pilihan raya 2008 juga disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata peningkatan pendaftaran pengundi bukan Melayu adalah kerana DAP paling agresif menjalankan program pendaftaran pemilih baru, terutama di kalangan belia Cina.

Wahabi: Jakim pertahan Zamihan, tak kisah ‘protes’ tokoh tertentu

June 29, 2010
KUALA LUMPUR, 29 Jun — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakan agensi agama kebangsaan itu termasuk pegawai kanannya dari Institut Latihan Islam Malaysia dalam isu kontroversi berkaitan amalan wahabi dan kemunculan kumpulan ekstremis Jemaah Islamiah (JI).

Ketika ditemui The Malaysian Insider, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menjelaskan, agensi itu hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta kerajaan demi memastikan ajaran Islam tidak terancam manakala kepentingan setiap kaum dan keharmonian negara dipelihara.

“Jakim hendak memastikan negara kita harmoni, melakukan apa sahaja yang boleh membawa ketidakharmonian, kita ambil langkah supaya jangan sampai ada yang menyemarakkan ajaran sesat dan melampau,” kata beliau.

Wan Mohamad juga berkata, meskipun tindakan pihaknya kadangkala dilihat tidak popular tetapi tidak akan tunduk sehingga ada “pihak mengambil kesempatan mahu menghidupkan aktiviti pelampau.”

“Kami tidak akan membiarkan walaupun tindakan kami (dilihat) tidak popular, walaupun orang tidak suka, tugas kami ialah menjaga keharmonian.

“Walaupun satu atau 100 orang tokoh tidak suka dengan tindakan kami, pada Jakim itu tidak penting.

“... yang penting ialah negara kita ini aman, bila negara aman kita boleh amalkan agama kita dengan baik, beramal dengan baik tidak kira Islam atau bukan Islam,” kata beliau mengulas perkembangan isu semasa berkaitan amalan wahabi dan kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa isu semasa ini timbul kerana masalah peribadi antara Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Wan Mohamad berkata, “itu tanggapan pihak-pihak tertentu.”

“Dia (Zamihan) seorang pegawai kerajaan, pihak yang mengundang beliau (untuk memberi taklimat) adalah agensi keselamatan... itu amalan biasa. Kita perlu bekerjasama dengan agensi-agensi lain.

“Dia pegawai kanan, dia ada pengalaman dalam program pemulihan tahanan (khususnya tahanan ISA),” kata Wan Mohamad.

Oleh itu jelas beliau, sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan Zamihan, Jakim merasakan perbezaan itu boleh dibincang secara profesional dan ilmiah.

“Negara kita membolehkan setiap orang bebas berfikir, bebas memberi pandangan... kita tidak boleh kata jangan tidak bersetuju, terima pandangan,” kata beliau sambil menambah, Jakim sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak.

Ketika ditanya sama ada empat tokoh agama dan politik berkenaan ada kaitan dengan kumpulan JI sebagaimana didakwa ada dinamakan pada taklimat Isnin lalu, Wan Mohamad berkata, Jakim tidak pernah menuduh mereka.

“Bukan kami untuk menentukan tetapi agensi keselamatan yang menentukan,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui jika benar mereka terlibat dalam kaitan dengan kumpulan pengganas atau pelampau sudah tentu telah lama ditahan oleh pihak berkuasa.

“... dan (sudah tentu) mereka tidak boleh berada dalam kerajaan negeri, tidak boleh menjadi pemimpin di Parlimen...,” jelas beliau.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu, Zamihan berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan Asri sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman wahabi dan kumpulan pengganas JI sebagai tidak profesional.

Malah Zamihan memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.

Zamihan menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama iaitu Asri, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat Khamis lalu Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Bertasbih Tapi Menghalal Yang Haram?

Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan UMNO yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga DUN Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan UMNO/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan UMNO, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

“...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya...”

Sudikah kiranya pemimpin UMNO yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan UMNO pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang UMNO, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Monday, June 28, 2010

AKU TAK NAK UPSR ?


  • Rakyat bukan tak nak UPSR atau PMR...
  • Sebenarnya rakyat tak nak BN...
  • Apa guna rakyat memberi mandat kepada BN, kalau persoalan UPSR dan PMR pun nak diserahkan kepada rakyat.
  • Kerja menteri pastikan Dasar Pendidikan Negara dapat dicapai, takkan soal penilaian dalam sistem pendidikan pun nak tanya rakyat.
  • Itu bukan berjiwa rakyat, tapi sudah hilang kepercayaan rakyat.
  • Itu lah masalahnya bila menang dengan cara tak demokratik. Nampak macam ada majoriti, tapi setiap keputusan kerajaan tak dapat sokongan majoriti rakyat.
  • Walaupun nampak menguasai kerajaan persekutuan, tapi BN tak dapat mengemukakan program yang dapat diterima rakyat.
  • UPSR dan PMR bukan isu dalam sistem pembelajaran.
  • Isunya, apakah sistem pendidikan kita ini benar-benar melahirkan manusia atau melahirkan robot.
  • Mana arah tuju pendidikan Islam dan moral dalam sistem pembelajaran kita.
  • Kalau semua benda nak tanya rakyat, yang kamu jadi menteri tu apa kerja kamu. Lebih baik rakyat jadi menteri, menteri pendidikan jadi rakyat.
  • BN hari ini dalam dilemma. Setiap program perlu dapat kelulusan dari rakyat.
  • Masa beli kapal selam kenapa tak tanya rakyat...
  • Masa buat Permata Negara, beri baget 100 juta kenapa tak tanya rakyat...
  • Masa...
  • Masa...
  • Masa...
  • Masa...
  • Masa...
  • Masa...
  • Ingatlah masa hidup sebelum mati.

Friday, June 25, 2010

Zamihan Terus Berdusta

Disiarkan pada Jun 24, 2010 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan | Tiada Komen

Merujuk kepada kenyataan Zamihan bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguatkuasa dan wakil-wakil universiti itu, beliau hanya menyebut “Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi”. Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid’ah: Istilah yang Disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu. Katanya: “Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian. Zamihan menambah, pandangan yang “keras” sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini.” (Malaysiakini 24 Jun 2010).

Berikut ulasan saya;

1. Ini adalah satu pendustaan yang nyata. Dalam buku Bid’ah: Istilah yang Disalahfahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemikian. Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H), pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian. Saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu.

bukubidaah.JPG

2. Sebenarnya, persoalan maulid pernah saya sebut dalam artikel lain yang bertajuk ‘Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan’ yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan tiada pun perkataan seperti didakwa itu disebutkan. Bahkan saya menyebut: “Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selainnya. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu”.

3. Adapun dalam artikel lain yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia bertajuk ‘Melayu Dan Mamak Penang’ yang mempertahankan pendirian MB Kelantan mengenai isu maulid, perkataan Kristian ada disebut tetapi bukan perkataan saya, sebaliknya seperti berikut: Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris: “Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga. Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan jenerasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan). Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain”. Saya hanya menyebut pendapat tersebut, tetapi tidak menyatakan menyokongnya.

4. Dengan ini jelas bahawa beliau telah memberikan taklimat yang dusta lagi bohong kepada pegawai keselamatan dan TNC-TNC seluruh negara. Persoalannya, bagaimana kerajaan atau pihak polis boleh membenarkan pendustaan seperti ini dibuat dalam satu taklimat penting mengenai keselamatan negara?

5. Di sudut yang lain, jika ada pihak yang tidak ingin mengadakan perayaan Maulid seperti Kerajaan Kelantan atau Perlis, apakah pula kaitannya dengan keselamatan negara? Jelas, isu keselamatan negara telah menjadi mainan pihak tertentu dan dipermudah-mudahkan.

6. Isu ini menggambarkan betapa suasana pengurusan keselamatan negara diperjudikan atas perkara-perkara remeh seperti ini.

Wednesday, June 23, 2010

Dr Asri dan Dr Juanda dakwa "BN Bohong"

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Di tengah-tengah cerita bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama 100 ulama akan menyertai Umno Jumaat ini, beliau bersama rakannya, Dr Juanda Jaya yang kini Mufti Perlis menyifatkan BN bohong dalam mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Dakwaan ini dibuat kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama yang diberikan tajuk "Mengapa Kerajaan BN Berbohong?" bagi mengulas langkah kerajaan BN yang cuba mengaitkan isu ancaman pengganas di negara ini dengan mereka berdua.

(Gambar: Empat yang didakwa ada kaitan dengan Wahabi oleh ILIM, Shahidan, Asri, Juanda dan Abdul Hadi)

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford Universiti Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula adalah Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis dan kini Pensyarah Pengajian Islam USM.

Kedua-duanya mengulas laporan yang mengaitkan mereka berdua, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas MB Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan JIM dengan pengganas.

Kaitan itu dibuat dalam satu taklimat keselamatan negara anjuran Polis dan diberikan oleh Zamihan Mat Zain dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diadakan di Bukit Aman 21 Jun lalu.

Sebelum ini, Presiden PAS juga menafikan dakwaan beliau terlibat dengan kegiatan yang didakwa itu.

Setiuasaha Agung Umno sebelum ini mendakwa, Dr Asri akan menyertai Umno Jumaat ini bersama dengan 100 ulama lagi.

Dr Asri dan Dr Juanda berkata, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

"Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu," kata kenyataan bersama itu.

Buktinya, kata mereka, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara.

Penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu Presidan PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Shahidan Kassim, mereka berdua berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan Wahabi dan pengganas JI.

Pertubuhan JIM pula dikaitkan dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

"Dakwaan ini sangat jahat dan jelas sengaja diada-adakan" kata kenyataan bersama mereka berdua.

"Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

(Gambar: Dr Asri bersama pimpinan PAS di muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu baru-baru ini)

"Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami," katanya.

Justeru itu, kedua-dua berkata, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

"Bagi kami YB Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini," kata kedua-duanya.

Mereka juga membela Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu," kata mereka.

"Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai," kata mereka lagi.


Sehubungan itu, mereka mendesak pihak polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

"Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf.

"Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan," kata mereka berdua.


"Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas," katanya lagi.

Dengan ini, kata mereka, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

"Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni," tegas mereka berdua.

Di samping itu, mereka menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

Tuesday, June 22, 2010

Adun Sri Serdang lepaskan semua jawatan??

SHAH ALAM, 22 Jun — Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan Badan Perhubungan Umno Selangor malam tadi.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 tengah malam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir kerana mereka ada urusan di luar negara.

Kelmarin, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang, pada mesyuarat tersebut.

Noh berkata mesyuarat malam tadi membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat Adun Barisan Nasional (BN) baru-baru ini. — Bernama

Monday, June 21, 2010

Hari Bersejarah Pertubuhan IKRAM Malaysia

KUALA LUMPUR - Di hadapan lebih 5,000 orang yang terdiri daripada ahli, tetamu khas, petugas media serta para pemerhati dari dalam dan luar negara, sebuah gerakan Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) telah dilancarkan pagi tadi. Majlis bersejarah tersebut berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre, Seri Kembangan dekat sini.

Sungguhpun IKRAM nama baharu dalam dunia gerakan Islam di negara ini, ia bukanlah pertubuhan (NGO) yang baru hendak bertatih. IKRAM lahir hasil gabungan lima NGO yang selama ini bergerak berdasarkan pengkhususan masing-masing. NGO terbabit, Medical Interest Group Sdn Bhd (MIGSB), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) dan Persatuan Islam Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Australasia (AUSIS). Aqsa Syarif Berhad yang ditubuhkan Februari lalu menjadi NGO kelima yang bernaung di bawah IKRAM.

Setakat hari pelancarannya sahaja, IKRAM telah mempunyai 69 cawangan daerah dan 14 cawangan negeri di seluruh negara, manakala bilangan ahli-ahlinya sudah menjangkau 3500 orang. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Pelancaran IKRAM telah disempurnakan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad.

Dalam sidang media yang diadakan seusai pelancaran tersebut, Dr Parid menjelaskan IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang komprehensif dan tidak memberikan fokus kepada bidang-bidang tertentu sahaja kerana dakwah adalah hak semua orang.

Bingkisan Islam yang hendak disampaikan oleh IKRAM adalah untuk semua manusia tanpa mengira agamanya agar lebih ramai yang dapat menerima kebaikan Islam dan sujud kepada Pencipta alam.

"Walaupun begitu, kita tetap berpegang kepada konsep bahawa tidak ada paksaan dalam beragama. Mereka yang belum bersedia menganut Islam tiada halangan untuk berdialog dan bekerjasama dengan kita dalam bidang-bidang tertentu," katanya.

Antara matlamat IKRAM yang disebut dalam perlembagaannya adalah menyebarkan Islam melalui dakwah, meninggikan taraf sosio-ekonomi umat Islam, memupuk keadilan masyarakat dan kesejahteraan sosial dan menegakkan syariat Islam secara praktikal. Selain yang demikian, IKRAM bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memajukan kepentingan umat Islam, sesuai dengan moto IKRAM, 'Ukhuwah Teras Kegemilangan'.

IKRAM menyatukan dalam satu organisasi kerja-kerja dakwah yang telah diusahakan oleh ahli-ahlinya di bawah pelbagai nama. Dengan tertubuhnya IKRAM, kegiatan-kegiatan seperti dakwah kepada yang belum Islam, pendidikan, wanita, remaja, belia, kebajikan, bantuan kemanusiaan, hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik (good governance) akan digabung (consolidate) dan diperteguh.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, Setiausaha Agung, Haji Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita, Ustazah Maznah Daud. Kebanyakan media utama negara termasuk daripada akhbar berbahasa Cina turut hadir membuat liputan majlis pelancaran dan sidang media IKRAM itu.

Menjawab satu soalan, Dr Parid menerangkan bahawa IKRAM berusaha membawa konsep dakwah yang dapat diterima oleh semua pihak demi mewujudkan kefahaman serta amalan hidup yang selari dengan tuntutan massa.

"Yang penting, ia mestilah tidak terkeluar daripada landasan Islam. Kita mesti yakin Islam itu baik bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang belum Islam," ujar lulusan Doktor Falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Universiti Jordan, Amman ini.

Pelancaran IKRAM hari ini sekali gus melancarkan lagu rasmi pertubuhan itu yang menarik dan bersemangat. Lagu berjudul 'IKRAM' tersebut ditulis oleh Prof Dr Hatta sendiri manakala lagu dan vokalnya disampaikan oleh kumpulan SaffOne.

Sesi kedua majlis diserikan dengan Tazkirah Perdana oleh Ahli Lembaga Timbangtara IKRAM, Ustaz Alias Othman berjudul 'Bekalan di Perjalanan' dan ucapan berapi-api oleh Ustaz Hasanuddin Yunus, Pengerusi Aqsa Syarif yang turut menyertai flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Azhar Maluddin, 45, berkata, jumlah kehadiran yang begitu ramai pada hari ini memberi petanda yang amat baik.

"Pelancaran IKRAM yang dihadiri tidak kurang daripada 5,335 hari ini mampu memberi impak yang besar kepada ahli-ahli. Ia menunjukkan IKRAM boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya daripada ahli-ahlinya apabila diperlukan," katanya.

Sementara itu, gerai-gerai yang dibuka di lobi dewan, terutamanya yang menjual barangan berkaitan Palestin mendapat sambutan menggalakkan daripada para pengunjung.

Ilpas: PAS persiap hadapi pilihan raya

Zulkifli Sulong

HULU SELANGOR, 20 Jun: PAS melancarkan Institut Latihan Pilihan raya PAS (Ilpas) hari ini dengan harapan untuk mempersiapkan parti itu menghadapi pilihan raya yang disifatkan berbeza sama sekali dengan peperangan.

"Pilihan raya adalah memujuk orang bersama kita sedangkan perang untuk takluk dan halau orang," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap melancarkan gerak kerja Ilpas di Batang Kali hari ini.

Sehubungan itu, beliau hari ini menyerahkan empat modul utama Ilpas kepada pengarah pilihan raya bagi setiap negeri.

Modul itu adalah dasar PAS, undang-undang pilihanraya, terknikal dan strategi pilihan raya.

Modul ini akan dijadikan asas latihan untuk petugas pilihan raya PAS bagi setiap negeri yang akan bermula minggu depan.

Jabatan Pilihan raya PAS (JPP) akan turun ke negeri-negeri di mana 50 peserta akan dipilih untuk dilatih dan dijadikan pakar pilihan raya bagi setiap negeri.

Pengarah Ilpas adalah Mohd Abdul Wahid Endut, timbalan ketua pengarah JPP yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau dibantu empat naqib atau ketua bagi setiap modul yang dibentuk itu.

Dengan pembentukan Ilpas, PAS dianggap paling ke depan dalam latihan pilihan raya.

Abdul Hadi berkata, melalui Ilpas, semua petugas akan dilatih agar memahami dengan baik apa yang diperlukan dalam sistem demokrasi.

"Kita kena faham, Islam adalah bersama dengan prinsip kuasa rakyat dan menentang diktator di samping menolak pemerintah yang zalim," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Ru Rendang.

Untuk melaksanakan perkara ini, sebagaimana zaman awal Islam, PAS membina ahli induk dahulu.

"Inilah yang PAS buat dan akan dibuat oleh Ilpas," kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi menerangkan dengan jelas konsep demokrasi dan pemimpin yang perlu mendapat sokongan majoriti dalam ucapannya.

"Perlantikan khalifah Islam pertama Abu Bakar As Siddiq adalah melaliu prinsip ini kerana Islam sedar peri pentingnya pemimpin yang mendapat sokongan majoriti rakyat," katanya.

Friday, June 18, 2010

Kami sudah bersedia pertahan kerusi Batu, kata Pakatan

June 18, 2010
KUALA LUMPUR, 18 Jun — Komponen Pakatan Rakyat (PR) sudah memulakan langkah persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Batu — pilihan raya kecil pertama di Wilayah Persekutuan selepas Mac 2008.

Kerusi itu kemungkinan besar akan diisytiharkan kosong ekoran hukuman denda RM2,000 dikenakan ke atas Ahli Parlimen Tian Chua oleh Mahkamah Tinggi selepas menolak rayuannya semalam.

Hukuman denda RM2,000 sudah cukup memadai untuk menganggap kerusi itu kosong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti implikasi hukuman semalam.

Tian Chua wakil rakyat penggal pertama memenangi kerusi itu pada 8 Mac 2008.

Meskipun Hakim Datuk Ghazali Cha mengurangkan denda bagi mengelakkan pilihan raya kecil, tetapi peguam veteran Karpal Singh berkata, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan adalah jelas kerusi Batu telah kosong.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, partinya akan menyokong pilihan PKR untuk menurunkan calon mereka di kawasan yang mempunyai 80,000 pengundi.

Batu merupakan salah satu daripada 10 kerusi dimenangi calon PR pada pilihan raya umum lalu.

Wilayah Persekutuan memperuntukkan 11 kerusi.

“Kami sedang bersiap sedia untuk kemungkinan pilihan raya kecil di Batu dan akan menyokong pilihan PKR jika ia diputuskan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang kepada The Malaysian Insider hari ini.

Mengenai kemungkinan calon yang berwibawa untuk diturunkan, Lim berkata, PKR mempunyai beberapa calon tetapi Datuk Zaid Ibrahim yang tewas di Hulu Selangor April lalu merupakan wakil PR untuk kerusi kawasan bandar ini.

“Itu terserah kepada PKR tetapi Zaid adalah calon yang sesuai,” katanya.

Lim juga berkata, DAP Wilayah Persekutuan akan mengadakan mesyuaratnya tidak lama lagi untuk membincangkan strategi PKR mengekalkan kerusi berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata partinya belum membuat sebarang keputusan konkrit berhubung kemungkinan tersebut.

Bagaimanapun katanya, sama ada SPR akan memanggil pilihan raya kecil atau tidak kemungkinan besar bergantung pada kehendak Barisan Nasional (BN).

“Lebih-lebih lagi mereka bertanggungjawab kepada Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Fuziah memberitahu, jika benar hakim mahkamah mahu menjaga kepentingan rakyat dengan mengelakkan pilihan raya kecil, maka beliau harus meneliti semula penghakimannya mengenakan denda RM2,000.

Oleh itu kata Fuziah, nasib Tian Chua hari ini berdasarkan “penghakiman satu sen.”

“Ia persoalan penghakiman satu sen. Jika denda yang dikenakan RM1,999.99 (kurang satu sen), beliau sudah terlepas daripada implikasi (hilang kerusi),” katanya.

“Hakim seharusnya menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengkaji semula denda dikenakan.

“Dan, kini ia antara satu sen dan beribu atau berjuta ringgit yang akan dibelanjakan dalam pilihan raya kecil,” katanya.

Pun begitu, Ahli Parlimen Kuantan ini berkata, jika pilihan raya kecil diadakan PKR yakin akan mempertahankan kerusi tersebut atas faktor sumbangan Tian Chua selama ini.

“Saya tidak mahu kata apa yang akan berlaku kemudian hari, tetapi saya tahu bahawa dalam dua tahun sejak menjadi Ahli Parlimen, Tian Chua telah bekerja kuat, sangat kuat.

“Saya yakin dalam pilihan raya akan datang, jenteranya sudah bersiap sedia dan akan bersedia (untuk turun gelanggang,” katanya.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi juga berkata, pihaknya mula bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Batu.

“Dalam pilihan raya dipanggil, walaupun ia sesuatu yang malang, kami akan menggerakkan sokongan untuk menyokong calon Pakatan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.

Bagaimanapun beliau menekankan seorang calon yang kredibel harus dipilih untuk mengisi tempat Tian Chua.

Tian Chua memenangi kerusi itu dengan menewaskan calon BN dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi pada 8 Mac lalu. — Reuters

Nik Aziz: PAS sedia hadapi BN bila-bila masa

PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa dari sekarang, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun kuasa mengumumkan tarikh pilihan raya itu terletak di tangan Perdana Menteri untuk membuat suatu kejutan, Menteri Besar Kelantan itu berkata kerajaan seharusnya memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama boleh bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Ber
cakap kepada pemberita di Tumpat dua hari lalu, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Menteri Besar Kelantan itu berkata soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan, bagi PAS ia tidak menimbulkan masalah kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersedia.

- Bernama

UMNO NAK TUTUP PEJABAT PAS CAWANGAN BUKIT BARU

‘Kerja senang tutup markas PAS ini pun engkau tak boleh buat’ itu antara kata-kata pembesar negeri ini kepada orang suruhannya ketika pembesar tersebut melawat seorang rakyatnya yang meninggal dunia semalam.

Merah padam muka orang suruhannya malu kerana dimarahi dikhalayak ramai. Memang tidak beradab betul pembesar tersebut.

Lantas orang suruhannya pergi berjumpa dengan penjagan Pejabat PAS Cawangan Bukit Baru yang bernama Ibrahim Daud atau lebih mesra dipanggil Imam Ibrahim.

“Saya harap Imam dapat tutup pejabat tu, ‘Datuk’ A&% (Pembesar tu) minta saya tutupkan markaz itu” kata Orang suruhan itu.


“Aku takkan tutupkan Markaz tu, terpulang pada engkau kalau nak bom, bakau atau sodok markaz tu, Aku takkan tutupkan” itu jawapan Imam Ibrahim kepada Orang Suruhan tu.

‘Menonong’ Orang suruhan itu meninggalkan Imam Ibrahim.

sumber: http://mtdbukitbaru.blogspot.com/2010/06/pejabat-pas-cawangan-bukit-baru.html

Wednesday, June 16, 2010

PAS lancar Institut Latihan Pilihan raya PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Jun: Semua para pemimpin kanan dan wakil rakyat PAS bakal berkumpul di Batang Kali pada 20 Jun ini bagi menyertai pelancaran gerak kerja Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS).

Majlis yang bakal dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu akan diadakan mula jam 8 pagi hingga 2 petang di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali.

Boleh dikatakan semua pemimpin utama PAS dari ahli Majlis Syura dan AJK PAS Pusat hinggalah Pengarah Majlis Tindakan Dun dan jentera pilihan raya Dewan Himpunan Penyokong PAS akan terlibat dengan majlis ini.

ILPAS ditubuhkan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat untuk memberikan latihan pengendalian kempen pilihan raya kepada semua jentera pilihan rayanya.

Ia bakal menjadi pusat penting untuk melahirkan petugas pilihan raya PAS untuk sebarang pilihan raya.

USTAZ HASAN SHUKRI -KEHILANGANMU SUKAR DICARI GANTI


OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Sederhana. Prihatin. Mudah mesra. Berpengalaman. Itulah antara lain ciri-ciri yang ada pada seorang individu hebat Pas yang telah pergi meninggalkan kita semua pada tanggal 14 hb Jun 2008 yang lalu. Itulah Almarhum Ustaz Hasan Shukri – orang parti. Kehidupannya diabadikan hanya untuk parti yang beliau amat sayangi iaitu Pas. Mungkin beliau adalah antara pemimpin Pas yang mempunyai pengalaman yang amat lama dalam Pas iaitu sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1951 atau mungkin sebelum itu lagi.

Kali pertama saya bertemu beliau adalah ketika menghadiri tamrin pelajar di Taman Melewar. Ketika itu saya berada di tahun pertama sebagai pelajar undang-undang di UIA . Jika tidak silap saya pada masa itu beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Pas. Itulah kali pertama saya mengunjungi Taman Melawar dan itulah juga kali pertama saya melihat Ustaz Hasan Shukri secara bersememuka. Saya amat tertarik dengan sifat kesederhanaan yang beliau tunjukkan. Meskipun beliau adalah orang lama dalam Pas beliau menujukkan sifat mesra kepada orang-orang baru Pas seperti saya. Banyak pengalaman-pemgalaman manis dan pahit yang beliau kongsikan kepada kami- para pelajar yang baru ingin berjinak dengan Pas.

Sejak dari pertemuan kali pertama sehinggalah kali terakhir saya bertemu dan berborak mesra dengan beliau di Muktamar Pas di Putik Kelantan , apa yang saya boleh katakan adalah betapa Pas kehilangan besar sebuah permata yang amat bernilai. Terlalu banyak perkara yang saya – termasuk para pimpinan dan ahli pas yang lain- belajar dari Ustaz Hasan Shukri. Pelajaran yang paling berharga adalah perlunya istiqamah dalam perjuangan tanpa mengira di waktu senang dan susah. Tidak sedikit mereka yang gugur dalam perjuangan Pas kerana tidak tahan diuji. Namun Ustaz Hasan membuktikan kepada kita beliau telah berjaya melepasi segala ujian dalam perjuangan Pas dan kekal istiqamah dalam perjuangan sehingga akhir hayat beliau.

Jika kita bercakap tentang jasa dan pengorbanan beliau dalam perjuangan terlalu banyak yang boleh diperkatakan. Muktamar Pas di Putik baru-baru ini menyaksikan sejarah dalam Pas dengan penyertaan golongan bukan Islam yang menjadi perwakilan melalui Dewan Himpunan Penyokong Pas. Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar atau tahu bahawa individu yang memberi sumbangan besar sehingga tergubalnya Peraturan –Peraturan bagi mengawal Dewan Himpunan Penyokong Pas adalah Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Kefahaman beliau yang mendalam tentang Perlembagaan Pas dan undang-undang yang berkaitan seperti Akta Pertubuhan menyaksikan kecerdikan beliau mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas tanpa perlu meminda Perlembagan Pas.

Bagi para pimpinan Pas, Ustaz Hasan adalah pakar Perlembagaan Pas. Boleh dikatakan beliau semacam menghafal Perlembagaan Pas sepertimana Dr Aziz Bari semacam menghafal Perlembagaan Persekutuan. Meskipun saya seorang peguam dan diamanahkan sebagai Penasihat Undang-Undang Pas namun apabila timbul masalah mengenai isu-isu Perlembagaan parti saya yang merujuk kepada beliau dan bukan sebaliknya.

Kehebatan dan pengalaman lama beliau dalam pentadbiran parti dan Perlembagaan parti bukan sahaja diakui dan dihormati oleh dalaman parti tetapi juga mereka yang berada di luar parti. Apabila sahabat –sahabat dari Brunai Darussalam berhajat menubuhkan parti politik mereka telah berkunjung ke rumah Ustaz Hasan dan meminta almarhum menggubal rang Perlembagaan parti politik tersebut. Saya masih ingat setelah beliau menyempurnakan penggubalan rang Perlembagaan tersebut beliau telah menyerahkan saya sesalinan rang Perlembagaan tersebut untuk tujuan semakan dan menerima pandangan saya. Sebagai seorang peguam saya amat terpegun dengan hasil cipta beliau mengambil kira beliau bukan terlatih sebagai seorang peguam dan tidak terdedah dengan disiplin penggubalan undang-undang secara khusus.

Pengalaman bersama beliau menunjukkan bahawa Almarhum adalah orang parti sejak dari awal penyertaan beliau bersama Pas sehingga pemergian beliau. Beliau adalah pemimpin parti yang berpengalaman memegang jawatan parti dari serendah-rendah peringkat sehingga ke peringkat yang paling tinggi iaitu Timbalan Presiden Pas.

Apabila Pas menaja kewangan beliau untuk menyambung belajar di Iraq, beliau membayar balik jasa Pas itu dengan terus berkhidmat dengan parti selepas menyempurnakan pelajarannya. Beliau menunjukkan “ passion ( minat yang mendalam ) dalam kerja-kerja mengemaskan pentadbiran parti di semua peringkat . Meskipun kerja-kerja itu dilihat “kurang glamour” namun itulah kerja-kerja yang beliau lakukan tanpa mengenal penat lelah dan jemu.

Boleh dikatakan semua maklumat cawangan parti di seluruh negara ada di dalam pengetahun beliau. Beliau sanggup meninggalkan keluarga berhari-hari hanya kerana membantu kerja-kerja menguruskan kerja-kerja pentadbiran cawangan –cawangan Pas di seluruh negara.

Sifat mudah mesra dan kesederhanaan beliau tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Semasa saya baru mengenali beliau saya amat terkejut melihat beliau dengan berbaju T=Shirt Pagoda dan berkain pelekat tidak segan silu memotong rumput dan menyapu kawasan di Markaz Taman Melewar sedangkan pada masa itu beliau adalah Timbalan Presiden Pas. Boleh dikatakan kerja-kerja tersebut dilakukan secara rutin oleh beliau.

Boleh dikatakan juga rumah beliau telah menjadi pusat aduan tidak rasmi Pas. Ahli-ahli dan pimpinan parti yang menghadapi masalah sering mengadu nasib kepada AlMarhum tanpa mengira waktu dan masa. Para tetamu dari dalam dan luar negara sering berkunjung ke rumah beliau bagi memohon pelbagai bantuan termasuklah bantuan penginapan dan kewangan .

Saya pernah bertanyakan kepada beliau sewaktu pulang bersama-sama beliau dari satu program ceramah di Sabak Bernam, apakah pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan ketika menghadiri program Pas. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat melupakan peristiwa di mana semasa beliau memandu kereta selepas balik dari satu ceramah salah satu tayar kereta beliau tercabut dan beliau tidak sedar akan hal tersebut dan terus memandu sehinggalah seseorang menahan beliau dan memberitahu beliau bahawa tayar kereta beliau telah tercabut dan terpelanting keluar. Mungkin ini antara karamah yang Allah berikan kepada pejuang Islam yang ikhlas seperti Almarhum.

Moga Allah merahmati Almarhum . Amin.

pautan dari: http://peguampas.blogspot.com/2010/06/ustaz-hasan-shukri-kehilanganmu-sukar.html

Laman Blog PAS Kawasan Alor Gajah.

Assalamualaikum,
Alhamdulillah, dengan lafaz Bismillah blog PAS Kawasan Alor Gajah akan mula aktif bermula pada tarikh hari ni. Insya'Allah dengan kekuatan yang diberi Allah swt dan matlamat pejuangan yang dibawa oleh PAS akan menjadikan blog ini sebagai ruang untuk menyampaikan maklumat yang sesuai dari pihak PKAG. PKAG amat mengalu-alukan sebarang maklumat daripada ahli-ahli dan penyokong-penyokong untuk paparan di blog ini.

Berita atau maklumat boleh di emailkan ke aburijal38@gmail.com. Terima Kasih.


Petugas